Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan tiga pindaan utama melibatkan semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada rakyat dan pemain industri sejak pengumuman peluasan skop SST pada 9 Jun lalu.

Katanya, sebagai langkah memahami sentimen akar umbi, MOF turut mengadakan sesi libat urus bersama beberapa ahli parlimen penyokong kerajaan semalam.

“Kerajaan Madani kekal komited memastikan semakan SST ini bersifat progresif serta mengurangkan kesan kepada barangan keperluan asas dan beban yang ditanggung perniagaan kecil,” kata MOF.

Antara pindaan utama ialah pengecualian Cukai Jualan ke atas beberapa jenis buah-buahan import terpilih iaitu epal, oren, limau mandarin dan kurma.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan pengecualian itu selepas mempertimbangkan maklum balas awam.

MOF turut menegaskan bahawa, kerajaan tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur.

Barangan lain yang turut tidak dikenakan cukai iaitu ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin dalam bentuk segar, sejuk dingin atau sejuk beku juga terus dikecualikan.

Dalam pindaan kedua, had nilai ambang pendaftaran tahunan untuk perkhidmatan sewaan, pajakan dan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

“Langkah ini bagi mengurangkan jumlah perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan serta membolehkan lebih banyak PMKS menikmati manfaat pengecualian cukai,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam pindaan ketiga, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah, gunting rambut dan pendandan rambut.

MOF menyeru semua pihak supaya membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan kepada maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST.

Orang awam disarankan merujuk saluran rasmi MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi maklumat lanjut termasuk infografik, perundangan subsidiari dan soalan lazim (FAQ).

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai dan peniaga boleh menghubungi Pusat Panggilan SST JKDM di talian yang disediakan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast