KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur maut dalam satu kemalangan semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.
Mangsa, Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Kuching, dari arah Jalan Tun Razak menghala ke Selayang, kira-kira pukul 4.30 pagi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan di laluan berselekoh sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke bawah tebing.
Menurutnya, seorang lagi anggota yang menunggang motosikal di belakangnya turut terbabas dan mengalami kecederaan ringan, kini sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Ketika kejadian, kedua-dua anggota sedang melaksanakan penugasan pemantauan dan pencegahan aktiviti samseng jalanan sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan seperti disiarkan menerusi Facebook JSPT KL hari ini.
Difahamkan, Allahyarham Muhammad Amirul Aiman telah berkhidmat di JSPT Kuala Lumpur sejak tamat latihan dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi selama lebih setahun.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata, dan jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ajil, Terengganu, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette
















