KUALA TERENGGANU – Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut yang ditahan petang semalam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli pelajar di sekolah berkenaan.
Perintah reman terhadap kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di sini, untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.
Kedua-dua pelajar berkenaan ditahan 4 petang semalam selepas hadir bersama keluarga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk membantu siasatan.
Artikel berkaitan: Polis kenal pasti lima suspek buli pelajar MRSM
Asyraf arahkan pelajar MRSM Besut terlibat buli dibuang sekolah
Lima pelajar MRSM Besut direman tiga hari bantu siasatan kes buli
Dua lagi pelajar MRSM Besut ditahan berkaitan kes buli
Kes buli: Mara mahu jadikan pengajaran buat semua MRSM
Sebelum ini, lima pelajar di sekolah sama berusia 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut terlibat dengan kes buli, ditahan reman hingga esok.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata, setakat ini dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama pada 11.30 malam Selasa lepas.
Seorang daripada mangsa mendakwa telah dipaksa untuk duduk dalam keadaan separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan. – BERNAMA
















