KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera ringan selepas terlibat dalam pergelutan ketika cuba mengawal situasi dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu kota, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, insiden itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika pihak polis mengambil tindakan pencegahan terhadap salah seorang peserta yang didapati membakar suar.
“Tindakan peserta membakar suar menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan para peserta, petugas keselamatan serta orang awam yang berada berdekatan.
“Ketika tindakan pencegahan diambil, berlaku sedikit pergelutan antara peserta perhimpunan dan petugas Op Aman, sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Bagaimanapun, pergelutan tersebut berjaya dileraikan oleh pihak polis.
Menurut beliau, himpunan yang bermula jam 3.05 petang hingga 6.40 petang itu disertai kira-kira 100 peserta, terdiri daripada gabungan beberapa kumpulan mahasiswa.
Perarakan bermula dari Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan bergerak menuju ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.
Susulan insiden itu, sebanyak tiga laporan polis telah diterima dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama.
Sulizmie turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette
















