"Dalam serbuan pertama pada 27 Jun lalu sekitar jam 9.45 malam, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan di hadapan lobi sebuah kondominium di Penampang. Ihsan Foto : PDRM

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan membabitkan rampasan dadah jenis ekstasi dan syabu di sekitar daerah Penampang dan Putatan, Sabah sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan itu hasil kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Dalam serbuan pertama pada 27 Jun lalu sekitar jam 9.45 malam, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan di hadapan lobi sebuah kondominium di Penampang.

“Hasil pemeriksaan menemui enam paket plastik disyaki mengandungi serbuk ekstasi seberat 228 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM4,800.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Manakala dalam operasi berasingan keesokan harinya, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun ditahan kira-kira jam 2.00 petang di kawasan perumahan Putatan.

Pemeriksaan ke atas suspek menemukan tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.22 gram.

Saringan air kencing turut mendapati wanita itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

Pihaknya juga akan terus komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras kegiatan jenayah, khususnya berkaitan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast