Dr Dzulkefly beramah mesra dengan kakitangan hospital selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan meneliti untuk mewujudkan ekosistem kesihatan baharu di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ekosistem baharu berkenaan bagi menangani isu inflasi perubatan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin ketara.

“Jawatankuasa ini bukan sahaja disertai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF), malah pelbagai agensi termasuk penyedia sektor kesihatan swasta , syarikat insuran dan takaful selain persatuan membabitkan kesihatan dan doktor serta ahli akademik.

“Mesyuarat telah dijalankan dan beberapa kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk menangani isu berbangkit mengenai inflasi perubatan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Roslan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon serta Pegerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Rabu lalu, 24 MOF dan KKM dilaporkan menubuhkan JBMKKS dalam usaha meneruskan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Dalam satu kenyataan bersama, MOF dan KKM dilaporkan berkata, jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah secara kolaboratif, sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).

JBMKKS dipengerusikan bersama -sama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dengan keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jawatankuasa itu akan disokong oleh Majlis Perundingan, yang memberikan input dan nasihat teknikal.

Kos penjagaan kesihatan menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia dan Kerajaan Madani mengambil langkah proaktif untuk menanganinya isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, antara langkah yang telah dilaksanakan bagi menangani inflasi perubatan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta termasuk inisiatif paparan senarai harga ubat.

Katanya, ini bagi membolehkan  pengguna mempunyai pilihan sebelum mendapat sesuatu rawatan.

Dalam perkembangan lain, beliau  memaklumkan KKM telah menerima permohonan kerajaan Johor berhubung sebidang tanah milik kementerian itu yang mahu dibangunkan menjadi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Kempas, di sini.

“Ya, kita ada terima permohonan berkenaan dan perkara itu akan dipertimbangkan,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan memaklumkan, kerajaan negeri akan memohon mana-mana tanah yang tidak dibangunkan kerajaan Persekutuan dipulangkan bagi kegunaan pembinaan kediaman mampu milik.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebidang tanah milik KKM di Kempas.

“Jika tanah itu tidak mahu dipakai, pulang balik kepada kerajaan negeri, kita mahu bangunkan lagi rumah mampu milik,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast