S. Sundarajoo

BUTTERWORTH – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menarik lesen operasi pengendali bot pelancong yang didapati melanggar peraturan keselamatan.

Gesaan itu dibuat susulan tragedi tiga individu termasuk dua kanak-kanak maut dalam insiden bot terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, penguatkuasaan perlu diperkasakan agar tragedi seperti itu tidak berulang selain semua pengendali bot pelancong harus memastikan pekerja mereka cukup latihan dan kelayakan dalam mengendalikan bot.

“Ini merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan. Sebagai seorang ayah, saya sangat tersentuh melihat insiden ini kerana ia boleh dielakkan sekiranya semua pihak mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan.

“Kalau benar berlaku pelanggaran syarat, lesen pengendali perlu ditarik balik. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan lebih-lebih lagi melibatkan nyawa.

“Justeru kita gesa kerajaan ambil tindakan tegas termasuk batalkan lesen operasi jika operator bot melanggar syarat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Sundarajoo meluangkan masa menziarahi keluarga S. Arumugam, 40, dan anak bongsunya, Sarrvihka, 3, yang terkorban dalam tragedi bot terbalik.

Suasana pilu menyelubungi kediaman mereka di Taman Bayu Aman ketika kunjungan tersebut berlangsung.

Media semalam melaporkan tiga individu maut, manakala seorang parah dalam kejadian bot karam di Pulau Perhentian.

Difahamkan bot yang dinaiki 16 penumpang tersebut karam akibat dipukul ribut di hadapan sebuah resort di pulau peranginan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast