JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk kilang dan mencuri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang di sini ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 2 pagi pada 29 Jun lal selepas pihak pengurusan kilang menyedari kehilangan kenderaan tersebut.
“Hasil maklumat dan tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kedua-dua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 28 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Suhaimi berkata, selain menahan suspek, polis merampas sebuah MPV, empat unit monitor komputer, komponen serta papan kekunci komputer selain satu penapis air, penghawa dingin serta tiga unit alat kawalan jauh.
Beliau memberitahu, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut mendapati seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama lima bermula semalam hingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya .
Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Seri Alam 07-387 1422 atau hotline 07-386 1422.- MalaysiaGazette
















