Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Pejabat Perdana Menteri diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga kanan) di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JUN 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan terbuka untuk menerima pelbagai kritikan berhubung peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pandangan yang dilontarkan itu perlulah dibuat berasaskan fakta.

Katanya, langkah kerajaan berhubung keputusan peluasan skop sistem percukaian dibuat tanpa membebankan majoriti rakyat.

“Apa yang dibangkitkan mengenai SST, saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh katanya kadar elektrik naik.

“Saya tak faham, apakah benar dia terkesan, umpamanya jika ada universiti mengenakan kadar elektrik bagi mahasiswa. Kalau benar, itu kita harus betulkan dan yang saya tahu universiti awam dikecualikan.

“Jadi hal-hal ini disebar kerana kebebasan itu jadi ruang fitnah, ruang maki hamun dan saya harap saudara saudari, adik-adik kita atau anak-anak kita tolong berikan fakta, saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Baru-baru ini Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berarak di hadapan pusat beli belah Sogo di ibu negara bagi membantah perluasan SST.

Beberapa sepanduk turut dibawa dengan ditulis pelbagai slogan sebagai bantahan terhadap langkah pelaksaan cukai itu.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala, kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.

Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast