SINGAPURA – Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) akan menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia-Singapura yang berulang-alik setiap hari apabila beroperasi 1 Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, RTS Link yang beroperasi 18 bulan lagi dijangka bakal mengurangkan kesesakan Tambak Johor yang berlarutan sejak sekian lama.
“RTS Link bukanlah projek infrastruktur biasa sebaliknya melambangkan pengukuhan hubungan persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati antara Malaysia dan Singapura.
“Kita bukan sekadar melancarkan sebuah tren baharu hari ini, ia lebih daripada itu ia tentang apa yang tren ini lambangkan, tentang dua negara yang sekali lagi berganding bahu untuk membina sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri.
“Projek dua hala skala sebesar ini memerlukan banyak persefahaman, perbincangan dan rundingan.
“Namun, kami (Malaysia-Singapura) berjaya berunding dan berbincang serta akhirnya mencapai persetujuan serta mendorong kedua-dua pihak untuk bersetuju dengan formula dan penyesuaian baharu untuk meneruskan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas pelancaran tren pertama RTS Link di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), Tuas di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow.
Siew Fook berkata, Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura itu ialah visi yang sedang direalisasi bertujuan memperbaiki kehidupan ribuan orang yang menyeberang sempadan dua negara setiap hari untuk bekerja, berjumpa keluarga atau mengejar peluang.
Tujuannya kata beliau, mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa, dan menghubungkan rakyat dua negara dengan lebih lancar berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, RTS Link menjadi antara komponen utama pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), bagi memudahkan pergerakan rakyat dan pekerja berkemahiran kedua negara.
“Saya ingin nyatakan bahawa projek RTS ini adalah komponen utama dalam pembangunan JS-SEZ, tanpa perkhidmatannya saya pasti zon ekonomi khas berkenaan tidak seistimewa seperti yang kita saksikan,” katanya.
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata, kerja pemasangan landasan dan kerja struktur bagi komponen utama Projek RTS Link iaitu Jejambat Marin, Stesen Bukit Chagar dan Depoh Wadi Hana telah pun disiapkan, setakat 31 Mei lalu.
\Menurut kenyataan berkenaan, kerja dalaman di Depoh Wadi Hana kini telah siap sebanyak 80 peratus dan berada di landasan untuk disiapkan sepenuhnya menjelang Oktober ini.
Jelasnya, di Stesen Bukit Chagar, kerja-kerja pemasangan fasad bumbung ikonik stesen sedang giat dijalankan.
“Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, dengan kerja struktur utama kini mencapai 90 peratus siap. Kerja pemasangan fasad dijadualkan bermula pada September, manakala kerja dalaman telah mencapai 45 peratus, selari dengan permulaan pemasangan akhir bagi reka bentuk dalaman.
“Pencapaian utama seterusnya adalah ujian dinamik bagi sistem tren RTS yang dijadualkan berlangsung pada Mei tahun depan. Fasa penting ini akan menyaksikan tren beroperasi sepanjang jajaran penuh dari Depoh Wadi Hana hingga ke stesen, sebagai persediaan untuk pengesahan operasi dan kesediaan sistem.
“Dengan kemajuan yang berterusan dalam komponen utama ini, MRT Corp yakin bahawa Projek RTS Link berada di landasan yang tepat untuk memulakan operasi sepenuhnya pada 31 Disember 2026,” katanya. – MalaysiaGazette
















