Ain Najwa menerima kunjungan Maliaman. Foto Berita Pas.

KUALA TERENGGANU – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias yang cedera dalam tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak awal Jun lalu dipilih sebagai anak angkat Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Portfolio Kebajikan.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim selepas mendapat persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.

Menurut beliau, sebagai komitmen kebajikan jangka panjang, kedua-dua pelajar tersebut akan menerima bantuan kewangan RM500 sebulan setiap seorang bermula Julai ini sehingga menamatkan pengajian mereka di UPSI.

“Kerajaan negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian.

“Mereka dipilih atas faktor tertentu termasuk taraf keluarga. Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dan fizikal manakala Ain Najwa anak pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” katanya memetik laporan portal Berita Pas.

Bapa Adham yang berstatus OKU penglihatan (kanan). Foto Berita Pas.

Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa telah menyentuh hati rakyat Malaysia apabila tular di media sosial, bukan sahaja kerana kecederaan yang dialaminya, malah kisah keluarga mereka yang susah.

Pengorbanan kedua ibu bapa Adham yang OKU membuatkan ramai menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Adham.

Sementara iru, kisah dua adik kembar Ain Najwa yang sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti demi menyokong kakak mereka belajar benar-benar mengajar rakyat Malaysia erti kehidupan.

“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” kata Ain Najwa.

Difahamkan, mereka sekeluarga telah kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu, yang ketika hayatnya hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel membaiki kenderaan.

Ibunya pula kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah-rumah jiran untuk menyara hidup.

Kecederaan yang dialami Ain Najwa akibat kemalangan itu termasuk patah bahu kiri dan kecederaan pergelangan tangan.

Dia kini sedang melalui proses pemulihan dan dibantu oleh JKM untuk memohon kad OKU, bagi membolehkannya mendapatkan sokongan kesihatan dan pendidikan yang lebih berstruktur.

Sementara itu, Adham turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan yang turut berstatus OKU.

Pelajar UPSI itu sebelum ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan berpanjangan.

Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut akan ditampung oleh Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast