KUALA LUMPUR – PETRONAS Gas Berhad (PGB) mengambil maklum terhadap laporan penemuan oleh pihak berkuasa berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.
Bagaimanapun katanya, syarikat itu akan meneruskan komitmen terhadap ketelusan, penambahbaikan, keprihatinan terhadap mangsa-mangsa yang terjejas.
Tambahnya, PGB juga akan meneruskan kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas dan pihak berkuasa berkaitan.
ARTIKEL BERKAITAN
Katanya, sejak insiden itu berlaku, PGB telah menggerakkan pelbagai usaha besar untuk memastikan keselamatan awam, menyokong komuniti yang terjejas, dan mengekalkan kesinambungan bekalan gas di seluruh negara.
“Insiden ini merupakan kejadian yang belum pernah berlaku dalam sejarah sistem penghantaran gas kami, dan kami sepenuhnya menyedari kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan sistem saluran paip, terutamanya berkaitan kesinambungan aliran gas melalui rangkaian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, Sistem Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) direka bentuk dengan pelbagai lapisan keselamatan dan daya tahan, yang disokong oleh lebih tiga dekad pengalaman kejuruteraan dan operasi.
Sistem dan tenaga kerja kami beroperasi secara berterusan bagi memastikan penghantaran gas yang selamat dan boleh dipercayai ke rumah-rumah, industri, dan sektor tenaga negara. -MalaysiaGazette
















