Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melayani dan tunduk dengan desakan pembangkang agar merehatkan beberapa wakil rakyat Sabah yang terpalit dengan skandal rasuah ketika ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ini kerana desakan itu memandangkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah semakin hampir.

Beliau berkata, sebaliknya UMNO Sabah perlu mendesak Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berehat dan memberi tumpuan untuk membela diri dalam kes rasuahnya.

“Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman dilihat semakin keliru, memandangkan saranan berehat daripada tugasan penting sepatutnya ditujukan kepada Bung Moktar.

“Secara jelas Bung Moktar diarah membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

“UMNO Sabah tidak sepatutnya mencampuri urusan wakil-wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pimpinan UMNO Sabah menasihatkan Hajiji untuk merehatkan wakil-wakil rakyat kerajaan GRS-PH yang dikaitkan dengan skandal rasuah.

Zulkarnain berkata, pertuduhan rasuah yang dibuat ke atas dua wakil rakyat masing-masing-masing daripada GRS dan UMNO mesra kerajaan negeri baru bermula.

“Saya berkeyakinan mereka berpeluang membersihkan nama mereka di mahkamah tanpa membela diri,” katanya.

Menurut Zulkarnain, masih banyak kes rasuah membabitkan pimpinan UMNO Sabah yang masih belum terungkai.

“Antaranya kes seorang isteri pemimpin UMNO Sabah dikatakan terbabit dengan rampasan wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

“Malah kes rasuah komisen bernilai RM6 juta membabitkan pembinaan hospital, penglibatan beberapa nama dikaitkan dengan Albert Tei, pembelian barangan golf secara tunai berharga RM200,000 dan beberapa lagi sepatutnya disiasat SPRM,” katanya.

Katanya lagi, desakan Rosman itu seolah-olah cuba membuta mata dan memekakkan telinga, malah beliau sukar menerima hakikat rakyat Sabah sebenarnya telah menolak UMNO di Sabah.

“Saya percaya desakan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyebabkan kesombongan pemimpin UMNO akan lenyapkan oleh rakyat Sabah pada PRN17,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast