PELABUHAN KLANG – Seorang lelaki tercampak ke dalam paya bakau selepas terjatuh dari jambatan susulan kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz, dipandunya melanggar sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat Telok Gong, di sini, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut selepas mendapat panggilan telefon jam 2.14 pagi.
“Seramai enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah digerakkan ke lokasi kejadian

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan di mana Perodua Aruz telah melanggar bahagian belakang sebuah lori 10 tan.
“Mangsa lelaki India yang tercampak ke dalam paya bakau berjaya dikeluarkan pada jam 4.12 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Logarajan Maria Pulai, 40 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai memandu kenderaan ketika di bawah pengaruh alkohol.
“Seterusnya JBPM Selangor menyerahkan mangsa kemalangan tersebut kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















