Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia kembali mengadakan rundingan tahunan pada akhir Julai ini selepas kali terakhir diadakan pada 2017, kata Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, usaha mengadakan semula rundingan itu dicapai semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia ketika pertemuannya dengan Presiden negara jiran itu, Prabowo Subianto baru-baru ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, delegasi kerajaan yang diketuai Anwar dijadual ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi itu termasuk acara berkaitan dengan Sekretariat ASEAN.

“Perbincangan dengan Presiden Indonesia itu telah diadakan dalam satu suasana yang cukup meriah, cukup baik, cukup positif dan antara perkara yang dibincangkan adalah untuk memulakan semula perbincangan tahunan ataupun annual consultation antara pimpinan kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Fahmi menambah, rundingan itu bakal menjadi menjadi forum terbaik untuk pemimpin kedua-dua negara menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam isu-isu berbangkit membabitkan Malaysia-Indonesia termasuk isu Ambalat.

Sementara itu, mengenai lawatan Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam, Fahmi berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan hubungan antara Malaysia dan negara berkenaan.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pengukuhan hubungan dua hala selain mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

“Dijangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast