Peluasan skop SST mula berkuat kuasa 1 Julai. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa barangan mewah dan perkhidmatan bermula semalam mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan terhadap kesan pelaksanaan cukai tersebut ke atas kos sara hidup, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagi Muhammad Taufiq Nasrudin, 26, walaupun belum merasai kesan ketara terhadap harga makanan, beliau menjangkakan harga barangan akan meningkat dalam masa terdekat.

Muhammad Taufiq Nasrudin

“Setakat ini belum terasa sangat, tapi saya percaya dalam beberapa hari atau minggu, pasti akan nampak perubahan. Bila semua harga naik tetapi gaji kekal, memang akan terasa beban. Kadang-kadang nak makan pun kena fikir dua tiga kali,” katanya.

Sementara itu, Puteri Aina Az Hallin, 19, menyifatkan SST sebagai beban tambahan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah berkeluarga.

“Sebagai orang bujang, mungkin tak terasa sangat. Tapi bagi yang berkeluarga, semua kos akan meningkat. Saya rasa SST ini tidak wajar dilaksanakan sekali gus. Sepatutnya kerajaan beri masa dan ruang kepada rakyat untuk bersedia,” ujarnya.

Puteri Aina Az Hallin

Katanya lagi, walaupun menyedari keperluan kerajaan meningkatkan hasil negara, pelaksanaan mendadak akan memberi impak kepada ekonomi isi rumah dan seterusnya memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara.

Bagi Tuan Nur Mu’azah Adawiyah Tuan Adnan, 25, pelaksanaan SST ketika rakyat masih berdepan tekanan ekonomi disifatkan sebagai tidak sesuai dan wajar dikaji semula.

Tuan Nur Mu’azah Adawiyah Tuan Adnan.

“Sebagai orang bujang pun saya dah rasa beban, apatah lagi mereka yang berkeluarga. Kos makan di luar semakin tinggi, jadi saya pilih untuk banyakkan masak sendiri.

“Gaji tak naik, tapi harga barang dan makanan naik. Kerajaan sepatutnya laksanakan SST secara berperingkat supaya rakyat boleh sesuaikan diri,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Yaacob, 27, berpendapat SST memberi kesan berantai walaupun tidak semua barangan dikenakan cukai secara langsung.

Abdul Rahman Yaacob

“Memang mula-mula tak terasa, tapi lambat laun akan beri kesan juga. Barang yang tak kena SST pun akan naik harga sebab kos pembekalan meningkat.

“Sekarang saya dah mula kurangkan makan luar. Malam nanti pun mungkin masak sendiri. Semua orang kena berjimat. Kalau tak, memang lari bajet bulanan,” jelasnya.

Kerajaan menguatkuasakan peluasan skop SST bermula 1 Julai sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula fiskal negara dan menyasarkan sektor-sektor yang sebelum ini tidak dikenakan cukai, bagi memastikan keadilan sistem percukaian.

Dalam pelaksanaan ini, kerajaan mengekalkan pengecualian cukai ke atas barangan keperluan harian seperti makanan asas bagi memastikan harga kekal mampu milik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rakyat yg pilih kerajaan hari ni…kerajaan tak tau cara mana lagi nak dapat duit melainkan kenakan cukai yg lebih tinggi kepada rakyat…skrg hadap laaaa

Comments are closed.