Seramai 109 penumpang bas ekspres dan persiaran di Johor dikompaun kerana kegagalan mereka memakai tali pinggang keledar, dalam tempoh dua hari penguatkuasaan peraturan baharu berkenaan dikuatkuasakan

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 109 kompuan terhadap penumpang bas ekspres dan persiaran di negeri ini kerana tidak memakai tali pinggang keledar Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bermula kelmarin hingga kini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, operasi itu adalah usaha JPJ Johor berusaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melalui pelaksanaan program penguatkuasaan berkenaan.

“JPJ Johor telah melaksanakan program penguatkuasaan terancang melalui Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang bermula 1 Julai lalu sehingga kini.

“Sepanjang tempoh program penguatkuasaan terancang melalui operasi khas ini, JPJ memfokuskan kepada penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap bas persiaran dan bas ekspres.

“Tindakan ini adalah bawah peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Dalam tempoh dua hari JPJ Johor telah memeriksa 675 bas persiaran dan bas ekspres dan hasilnya, 109 notis JPJ(P) 22 atau kompaun bernilai RM300 setiap satu dikeluarkan kerana kegagalan penumpang memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.

Pemandu perlu memastikan kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Sementara itu, Azmil Zainal berkata, JPJ Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan syarikat, pemilik, pemandu serta mana-mana penumpang yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Katanya, penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

“JPJ Johor turut menyeru dan memohon kerjasama pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi peraturan serta bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Sebarang aduan boleh dibuat secara terus atau masa nyata melalui Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta butiran lengkap aduan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast