Foto: FB Dato' Setia Dr. Naim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan kes jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda khususnya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini.

Apatah lagi, ujar beliau, gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda tersebut.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya semua pihak berhenti menormalisasikan maksiat atas nama kebebasan peribadi, serta bangkit membina benteng akhlak dan rohani.

“Kepada pelajar dan anak muda, jaga maruah, jaga nilai diri.

“Agama bukan sekadar pelajaran, ia panduan kehidupan.

“Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas.

Menurut Lukanisman, secara keseluruhan pula, sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, aspek pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring dalam menangani isu peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi agama; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan berganding bahu menyelamatkan generasi pewaris negara tersebut.

“Kerajaan MADANI komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat dari segi akhlak dan spiritual,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast