Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki menendang lampu kereta sehingga pecah selepas berselisih faham akibat pergeseran kereta di sebuah medan selera di sini membawa padah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek ditahan selepas pihaknya terkesan dengan video kejadian tersebut yang tular semalam.

“Siasatan mendapati kejadian dalam video yang tular berdurasi tiga minit 46 saaat itu berlaku di sebuah kedai makan pukul 8.30 malam pada 27 Jun lalu.

“Puncanya akibat pergeseran kenderaan di tempat letak kenderaan berhampiran premis menjual makanan di medan selera tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menangkap suspek.

Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditahan di kawasan Bandar Seri Alam pukul 1.45 petang tadi.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes jenayah.

“Perintah reman akan dimohon terhadap suspek di mahkamah di sini pagi esok untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast