Gali tanah untuk dapatkan air menerusi telaga tiub. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan Kelantan menghentikan kebergantungan terhadap sumber air bawah tanah susulan pendedahan mengenai pencemaran serius melibatkan kandungan besi dan mangan yang tinggi di kawasan tersebut.

Presidennya, Rajesh Nagarajan berkata, laporan mengenai pencemaran itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan hampir 600,000 penduduk yang masih bergantung sepenuhnya kepada telaga tiub dan perigi sebagai sumber harian berikutan kekurangan akses kepada bekalan air paip terawat.

“‘Boreholes atau telaga tiub bukanlah satu pilihan. Ia bukan sahaja berisiko kepada kesihatan manusia tetapi turut memusnahkan alam sekitar.

“Kebergantungan melampau terhadap telaga tiub menyebabkan paras air bawah tanah menurun secara drastik, yang boleh mengakibatkan mendapan tanah atau land subsidence.

“Kita sudah lihat kesannya di Jakarta, sebahagian bandar tenggelam akibat pengambilan air bawah tanah yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rajesh Nagarajan

Rajesh menegaskan, isu kekurangan air paip terawat di Kelantan bukan perkara baharu malah kerajaan negeri telah lama gagal menyediakan infrastruktur bekalan air bersih yang mencukupi kepada rakyatnya.

“Selama bertahun-tahun rakyat Kelantan terutamanya di luar bandar terpaksa bergantung kepada air bawah tanah yang tidak dipantau dengan baik dan tanpa kawal selia. Ini adalah kegagalan nyata kerajaan negeri dalam melindungi hak asasi rakyat,” katanya lagi.

Rajesh bimbang kandungan besi dan mangan yang tinggi dalam air telaga mampu membawa kesan kesihatan jangka panjang seperti Alzheimer, Parkinson, gangguan mitokondria, penyakit jantung serta masalah pernafasan dan neurologi terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil juga warga emas.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, Rajesh mencadangkan pelaksanaan inisiatif penuaian air hujan di seluruh negeri seperti yang telah berjaya dilaksanakan di Thailand.

“Malaysia menerima taburan hujan yang tinggi terutama ketika musim monsun. Di Thailand, sistem penuaian air hujan digunakan secara meluas di sekolah, rumah dan bangunan kerajaan.

“Ini satu model mampan yang boleh mengurangkan tekanan terhadap permintaan air paip dan harus diterokai segera oleh kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” ujarnya.

Rajesh turut menegaskan, dalam dunia moden hari ini, akses kepada air bersih adalah hak asasi manusia dan sebarang kelalaian dalam penyediaannya tidak boleh diterima.

“Adalah tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan untuk sebuah kerajaan negeri bersikap sambil lewa dalam soal kebajikan asas rakyat. Sudah tiba masanya Kelantan diberi penyelesaian yang sewajarnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast