KLUANG – Rayuan menarik balik penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bukan dilakukan menerusi surat rayuan sebaliknya menerusi usul yang dibawa UMNO Bahagian Sembrong dalam mesyuarat UMNO bahagian itu pada 21 Jun lalu.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, langkah tersebut dipersetujui semua pihak dalam bahagian tersebut.
“Sebagai ketua bahagian adalah menjadi kewajipan saya untuk merayu kepada kepimpinan tertinggi apabila ada di antara ahli UMNO Bahagian Sembrong digantung keahliannya.
“Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong merupakan ahli UMNO cawangan Kampung Sri Tambak yang juga ahli UMNO Bahagian Sembrong sejak lebih 20 tahun lalu.
“Bagaimana pun, rayuan tidak dilakukan dalam bentuk surat persendirian, ia disuarakan melalui usul setelah dipersetujui oleh keseluruhan perwakilan yang bermesyuarat tempoh hari,” katanya melalui rakaman yang disiarkan dalam TikTok malam tadi.
Beliau mendakwa, bahagian tersebut amat kecewa apabila usul yang dibawa itu tidak diurus seperti sepatutnya atau diberikan perhatian sewajarnya.
Ujarnya, usul berkenaan dibawa selepas dibincangkan secara mendalam oleh Ketua-Ketua Biro UMNO Bahagian Sembrong dengan mengambil kira Hishammuddin tiada melakukan kesalahan unsur-unsur untuk mengkhianati parti.
“Jasa dan pengorbanan beliau selama menjadi Ketua UMNO Bahagian Sembrong kepada parti dan ahli-ahli dalam bahagian ini langsung tidak menampakkan unsur-unsur sehingga untuk mensabotaj atau mengkhianati parti.
“Apalah salahnya jika pimpinan tertinggi parti untuk memanggil dan berbincang memberikan jawapan apa kesilapannya,” katanya.
Justeru pihaknya amat berharap usul untuk merayu agar Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong ditamatkan penggantungannya tanpa syarat dibincangkan selepas tamat tempoh mesyuarat bahagian UMNO seluruh negara nanti.
Abdul Ghani berkata, usul yang sama pernah dibawa dalam mesyuarat bahagian itu pada tahun lalu namun tidak mendapat perhatian malah tidak pernah dibincangkan kerana tiada sebarang jawapan diterima pihaknya sehingga tarikh persidangan tahun ini.
Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti kekal dengan prinsip keterbukaan untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti terbabit.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, proses itu perlu melalui saluran dan prosedur yang betul seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
Sehingga kini, dilaporkan, hanya dua surat rayuan rasmi diterima parti iaitu daripada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Hishammuddin kemudian dilaporkan memberikan bayangan beliau tidak akan merayu penggantungan keahliannya dengan menegaskan rayuan bukan penentu kesetiaannya kepada UMNO.
Beliau dilaporkan berkata, tidak pernah mengemukakan rayuan terhadap penggantungannya selama enam tahun itu sejak Januari 2023 kerana mendakwa tidak diadili sebaiknya dan enggan menggadaikan prinsip yang dipegang.- MalaysiaGazette
















