Keadaan bangunan yang menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran SMK Dang Anum, Merlimau yang terbakar malam tadi.

JASIN – Empat bilik guru dan pejabat pentabdiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 5.36 pagi sebelum jentera pertama dikerahkan ke lokasi dua minit kemudian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan empat bilik guru dan pejabat pentadbiran di tingkat satu bangunan sekolah.

“Kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 120 x 20 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman sedang dijalankan dengan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan air dari pili bomba.

Seramai 19 anggota dari empat balai terlibat dalam operasi ini, iaitu BBP Merlimau, BBP Jasin, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil.

Setakat pukul 7 pagi ini, operasi masih lagi dijalankan dan punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast