Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuah di apartment, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Taktik satu sindiket pengedaran dadah mengubah suai bilik apartment di bandar raya ini yang dijadikan pusat hiburan terbongkar apabila diserbu polis bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas risikan sejak awal tahun dengan tiga serbuan dilakukan pada pukul 3.30 petang pada 20 Jun lalu hingga pukul 6.30 pagi, 21 Jun lalu.

“Dalam serbuan ini pihak polis berjaya menumpaskan sindiket ini yang dianggotai sembilan individu dengan pelbagai jenis dadah dirampas.

“Serbuan pertama dibuat di sebuah apartment berpagar dan berpengawal yang mana satu unit disewa sindiket dengan tiga suspek ditahan bersama sejumlah dadah

“Serbuan kedua dibuat di sebuah lagi unit di aras sama apartment berkenaan, sebelum enam lagi suspek ditahan dengan dadah,” katanya ketika sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Katanya, serbuan di dua unit rumah berkenaan masing-masing terdapat satu bilik yang diubah suai menjadi pusat hiburan atau tempat karaoke.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati sindiket akan menarik pelanggan untuk datang berhibur di situ sebelum menjual dadah dan mengedarkan kepada pelanggan mereka.

Susulan dua serbuan itu katanya, pihak polis menyerbu sebuah lagi apartment dan merampas sejumlah dadah serta percaya sindiket itu aktif sejak Mac lalu.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan yang mana seorang daripadanya dipercayai dalang sindiket berusia 52 tahun.

Menurutnya, ini termasuk seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita Laos yang semuanya berusia antara 21 hingga 64 tahun.

Sindiket itu ujarnya, menggunakan apartment berpagar dan berpengawal untuk memproses, membungkus dan menyimpan dadah sebelum diedarkan.

“Dadah yang dirampas adalah 10.04 kilogram serbuk ekstasi; 140 gram syabu; 61.5 gram ketamin; 20 biji pil erimin 5; 370 pil yaba, 190 biji pil ekstasi dan 33 mililiter cecair disyaki dadah yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

“Semua dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 34,353 pengguna. Kemungkinan besar mereka ada pelanggan dari luar negara kerana ada suspek dari negara asing,” katanya.

Katanya, polis turut merampas alatan memproses dan membungkus semula dadah dan menyita dua kereta, wang tunai RM1,500 dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai rampasan dan sitaan RM1.9 juta.

Kumar berkata, hasil ujian saringan awal air kencing, semua suspek positif methamphetamine manakala hasil semakan mendapati empat lelaki tempatan mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

“Suspek lelaki warga Singapura pula yang berusia 64 tahun mempunyai rekod ‘wanted’ di Singapura.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Pada masa sama, Kumar berkata, trend terkini sindiket pengedaran dadah di negeri ini bergerak dalam kumpulan kecil antara empat hingga lima orang.

“Ini sindiket yang terbesar setakat ini membabitkan sembilan suspek dan kita berjaya tumpaskan sindiket ini dengan tangkapan semua sembilan ahli sindiket termasuk dalangnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast