PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah motosikal lain di simpang empat lampu isyarat di Jalan Persiaran Seri Alam/Jalan Tasek 64, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut yang melibatkan motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Yamaha FZ berlaku pukul 3.35 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 20 tahun yang menunggang Yamaha FZ sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Jalan Persiaran Seri Alam menuju ke Jalan Seri Alam.
“Sementara Yamaha Lagenda itu pula ditunggang seorang lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun sedang bergerak dari arah Jalan Tasek 64 menghala ke Vista Seri Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian kedua-dua penunggang tidak berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Persiaran Seri Alam/Jalan Tasek 64 sebelum bertembung.
Menurutnya, kedua-dua penunggang terjatuh atas jalan petak kuning di simpang empat terbabit.
Mohd Sohaimi berkata, akibat pelanggaran tersebut penunggang Yamaha FZ mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang Yamaha Lagenda pula mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk menerima rawatan,” katanya.
Siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















