Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  menafikan dua insiden melibatkan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilaporkan kelmarin dan hari ini disebabkan kelemahan perkhidmatan itu sendiri.

Malah insiden aerotrain yang digantung sementara selama lebih sejam pada pagi tadi juga bukan kerana perkhidmatan itu `tidak mampu beroperasi’ dalam keadaan hujan lebat.

Sebaliknya, jelas beliau, gangguan aerotrain pagi tadi disebabkan masalah teknikal pada salah satu pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di KLIA.

Ujarnya, pam itu merupakan sebahagian daripada kemudahan lama lapangan terbang dan bukan sebahagian daripada program penggantian aerotrain yang baharu.

“Apabila pam tersebut gagal berfungsi seperti sepatutnya, air hujan telah bertakung di dalam terowong sehingga mencapai paras selamat, lalu mengaktifkan sistem keselamatan aerotrain secara automatik untuk menggantung operasi sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, orang ramai melahirkan kekecewaan selepas mendakwa perkhidmatan aerotrain yang baru dilancarkan semula pada 1 Julai lalu, tergendala seketika sehari selepas mula beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pengarah Urusan Lapangan Terbang Malaysia, Datuk Mohd Izani Ghani hadir ke Majlis Pra Tonton Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 21 JUN 2025

Situasi itu diburukkan lagi dalam kejadian hari ini selepas aeotrain terbabit tergendala ketika hujan lebat, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada perkhidmatan tersebut tidak mampu bertahan dalam situasi hujan lebat.

Sementara itu, tambah Anthony, dalam insiden kelmarin, salah sebuah tren aerotrain terpaksa dihentikan buat sementara selepas seorang penumpang bertindak menghalang pintu platform daripada ditutup.

Sehubungan itu, ujarnya, ciri-ciri keselamatan aerotrain telah diaktifkan bagi mengelakkan pintu tertutup secara paksa, sekali gus mengelakkan risiko kecederaan kepada individu terbabit.

Jelasnya, tindak balas keselamatan itu adalah disengajakan dan wajar.

“Kedua-dua insiden ini, walaupun dikesali dari sudut keselesaan penumpang, sebenarnya membuktikan integriti dan kebolehpercayaan sistem keselamatan aerotrain baharu.

“Sistem ini direka untuk mengesan potensi bahaya dan menghentikan operasi bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kepada penumpang yang mana aerotrain baharu di KLIA dibina mengikut piawaian antarabangsa dan sedang beroperasi dengan baik.

Ujarnya, Malaysia Aiports Berhad (MAB) dan Kementerian Pengangkutan kekal komited untuk terus menambah baik perkhidmatan dan menyelesaikan sebarang isu dengan segera bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar untuk semua penumpang.

“Saya menghargai kesabaran dan kefahaman orang ramai dalam tempoh awal penyelarasan operasi perkhidmatan aerotrain baharu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast