Johari, Zulkurnain, Noraini dan kepimpinan parti selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Noor Event Hall, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – UMNO memerlukan satu pasukan yang kuat dan tidak berpecah belah sekirannya mahu menang pilihan raya umum (PRU) terutama di kerusi-kerusi panas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen perlu dilihat penting sama ada mudah atau sukar untuk menang.

Beliau berkata, UMNO perlu menjadi seperti satu pasukan bola sepak dengan setiap pemimpinnya perlu memainkan peranan bagi memastikan kejayaan pada PRU akan datang.

“Sekiranya parti hanya menumpukan kerusi-kerusi ‘panas’ atau calon popular tanpa pasukan yang lengkap di setiap DUN atau Parlimen, parti berisiko kecundang.

“Dalam padang bola, kita ada ‘striker’, ‘midfielder’, ‘fullback’, ‘goalkeeper’. Kalau kita hanya ada ramai ‘striker’ atau penyerang siapa nak bertahan bila diserang?

“Sama juga dengan kerusi DUN dan Parlimen. Mesti ada pasukan lengkap, ada peranan masing-masing,” ujar Menteri Perladangan dan Komoditi itu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Noor Event Hall di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Johor menjadi contoh bagaimana penyusunan strategi kerusi DUN yang teratur mampu membawa kemenangan besar.

“Berkenaan Johor, saya rasa Johor ada satu elemen sangat penting untuk UMNO. Kalau kita tengok masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, kita berjaya dapat 40 daripada 56 kerusi DUN, iaitu majoriti dua pertiga.

“Tetapi selepas itu dalam PRU pada November tahun sama, daripada 26 kerusi Parlimen, kita hanya menang sembilan kerusi sahaja,” ujarnya.

Johari menegaskan, semangat berpasukan perlu menjadi tunjang kepada gerak kerja parti supaya kejayaan PRN Johor dapat diterjemahkan kepada peningkatan jumlah kerusi Parlimen pada masa depan.

“Contohnya semangat berpasukan. Dalam pasukan bola, kalau hanya satu dua striker sahaja bekerja, dia tak boleh menang. Harapnya kita dapat tambah kerusi parlimen lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast