ISKANDAR PUTERI – UMNO perlu terus bersuara lantang termasuk membela hak dan keperluan orang muda dalam persekitaran politik kini yang semakin mencabar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha tersebut perlu dilakukan untuk kebaikan dan kebajikan mereka serta rakyat secara umum.
“Kita berdepan cabaran besar yang perlu ditangani dalam landskap politik yang telah berubah. Pendekatan terhadap anak muda masa kini tidak sama, mereka mahu memiliki rumah, pendidikan yang lebih baik dan peluang pekerjaan.
“Apa yang diinginkan ini sudah kita sediakan, sistem itu sudah ada seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA). Ini yang perlu kita sampaikan, sejak dahulu kita telah sediakan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri di Dewan Serbaguna Skudai, MBIP, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A Malik dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad.
Ahli Parlimen Lenggong itu berharap kemenangan di beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini menjadi suntikan semangat buat semua ahli parti berjaya pada pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.
“Jadikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit lebih kuat.
“Sebenarnya rakyat nak kita kembali seperti mana di Johor. Jadi, jagalah parti kita. Tiada parti yang boleh beri harapan terbaik. Yakinlah dengan UMNO dan BN,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















