BATU PAHAT – UMNO perlukan ahli yang setia kepada parti dan tidak lari apabila diuji termasuk apabila tidak lagi menjadi kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti sebelum ini diuji dengan pelbagai perkara antaranya apabila harta milik UMNO dirampas dan akaun dibeku.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden UMNO ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam.
“Tapi rakyat tetap pertahan UMNO. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan, kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan.
“Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” katanya berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, parti itu bukan sahaja memerlukan ahlinya yang setia tetapi juga tidak lari semasa dicabar dengan pelbagai ujian.
Jelasnya, ini termasuk apabila UMNO diuji lebih-lebih lagi semasa hilang kuasa sebelum ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menghargai sokongan dan kesetiaan MIC dan MCA semasa gabungan politik tersebut berada dalam kejatuhan.
“Perjuangan ini adalah satu gerakan yang tersusun dan kita harus mengiktiraf sokongan masyarakat India yang datang daripada MIC dan MRC.
“Walaupun kadangkala ia bukan mudah, kita tetap hargai kesediaan mereka berdiri bersama-sama kita, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam kesusahan dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette
















