ISKANDAR PUTERI – UMNO tidak pernah mengambil mudah peluang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana perkembangan dan dinamik politik di negeri tersebut adalah berbeza.
“UMNO sudah bersedia dengan mengambil langkah memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.
“Sebenarnya, UMNO telah pun membuat persediaan. Pucuk pimpinan parti di peringkat pusat atau pun negeri (ke Sabah) untuk kita menyelaras segala persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri ini yang kita jangka berlaku dalam tempoh terdekat.
“Tentunya persiapan daripada segi jentera di peringkat kawasan yang akan UMNO bertanding, sedang giat dilakukan dan ia bukanlah baharu tetapi dah lama dibuat. Jadi, soal persiapan, kita dah kukuhkan jentera, keyakinan kita dah siap sepenuhnya.
“Walau demikian, kita perlu bersiap sedia daripada aspek kemungkinan yang berlaku kerana dinamiknya politik di Sabah ini. Jadi, perkara asas memang dah siap sedia tetapi, soal lain seperti calon dan sebagainya itu di peringkat Pusat dan negeri akan putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri 2025 di Dewan Serbaguna Skudai, MBIP di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A Malik dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, UMNO yakin dengan kekuatan parti di kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“Berdasarkan bacaan dibuat parti, memang kita mempunyai ruang dan peluang. Sebenarnya melihat kepada kerusi parti kita sebelum ini, kita memang ada kekuatan di situ,” katanya.
Ditanya mengenai keyakinan parti dalam mengekalkan kemenangan dua pertiga di PRN Melaka dan Johor pula, beliau berkata, itu bergantung kepada sokongan rakyat.
Beliau berkata, parti sedar perubahan sokongan rakyat, namun sentiasa memperkukuhkan parti bagi memastikan sokongan rakyat kekal kepada Barisan Nasional (BN).
“Walaupun PRN Melaka dan Johor jauh lagi, tetapi kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri, parti atau wakil rakyat, sentiasa ke arah kita hendak kukuhkan parti untuk pastikan kita kekal dapat sokongan rakyat.
“Kita tak tunggu pilihan raya baru kita kuat bekerja, malah sebenarnya parti kita kerja selepas sahaja tamat satu-satu pilihan raya secara konsisten, dengan strategi yang tertentu,” jelasnya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat berkenaan, Ahli Parlimen Lenggong itu mengingatkan semua ahli parti supaya menjadikan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai pembakar semangat.
“Jadikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit lebih kuat. Sebenarnya rakyat nak kita kembali seperti mana di Johor.
“Jadi, jagalah parti kita. Tiada parti yang boleh beri harapan terbaik. Yakinlah dengan UMNO dan BN.
“Jangan sesekali leka kerana politik sifatnya dinamik, boleh berubah sekelip mata,” katanya.- MalaysiaGazette
















