KUALA LUMPUR – Dunia minyak wangi tempatan kini menyaksikan kemunculan satu jenama baharu yang menjanjikan kelainan apabila The Knights Atelier yang diasaskan Dr. Zyro Wong dan Gabriel Teo dilancarkan.
Ia secara rasmi sebagai jenama haruman mewah yang menggabungkan keanggunan dengan manfaat fungsional.
Menariknya, jenama itu bermula hanya sebagai projek hobi peribadi sebelum berkembang menjadi jenama perfumeri sepenuhnya yang mentakrifkan semula tujuan minyak wangi bukan sekadar bau yang wangi tetapi berfungsi untuk menyokong kesihatan emosi dan mental penggunanya.
Dr. Zyro Wong, yang juga merupakan Presiden The Knights Award membawa latar belakangnya dalam sains dan kimia ke dalam dunia haruman dengan mencipta minyak wangi premium daripada minyak pati berkualiti tinggi.
Pendekatan ini membuahkan satu konsep baharu functional fragrance yang menggabungkan haruman, sains dan elemen kesejahteraan.

The Knights Atelier memperkenalkan Siri Haruman Fungsional 4 Elemen: Earth, Air, Fire dan Water — setiap satu dirumus khas untuk menyokong pelbagai gaya hidup, sama ada ketika bekerja, bersantai mahupun menjalani hari yang sibuk.
“Minyak wangi sepatutnya lebih daripada sekadar bau yang sedap. Ia perlu berfungsi untuk anda,” kata Dr. Zyro.
Jenama itu disasarkan kepada individu moden dari pelbagai latar belakang termasuk profesional muda, pencinta gaya hidup sihat, golongan kreatif dan sesiapa sahaja yang ingin menjadikan haruman sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Selain kegunaan peribadi, The Knights Atelier turut menawarkan penyelesaian eksklusif seperti hadiah korporat, kolaborasi jenama, serta perkhidmatan ODM & OEM.
Ia juga semakin menarik perhatian peringkat serantau melalui servis penjenamaan haruman yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
Daripada sebuah hobi kepada jenama berwawasan, The Knights Atelier kini berdiri sebagai simbol kejayaan yang lahir daripada minat mendalam, disulami ilmu, keikhlasan dan matlamat fungsional. – MalaysiaGazette
















