KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak Minyak Zaitun Malaysia yang pertama kali diadakan anjuran anjuran Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Olive Jardine Sdn. Bhd. (Olive Jardine) akan menyiapkan satu kajian yang bakal diterbitkan serta dijadikan sebagai kerja-kerja akademik di universiti berkenaan.
Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff berkata, dalam kajian tersebut, pihaknya telah menggunakan tikus makmal sebagai ujian terhadap keberkesanan minyak perahan dara atau extra virgin oil (EVOO) dan ia akan diikuti dengan sesi ujian yang boleh dilaksanakan terhadap manusia pula.
Menurut beliau, pihaknya bersedia untuk melanjutkan kajian tersebut bagi menghasilkan satu hasil yang menyeluruh bagi membantu syarikat mempromosikan produk dengan lebih berkeyakinan dan berkesan.
“Kami tidak mahu syarikat mempromosikan sesuatu produk hanya menggunakan testimoni kerana ia adalah satu bukti yang biasa yang mudah diperoleh di pasaran.
“Tetapi jika ia adalah bukti daripada kajian yang dijalankan oleh pihak universiti maka ia akan memudahkan syarikat menawarkan produk berkualiti kepada pelanggan,” katanya pada Sidang Kemuncak Minyak Zaitun Malaysia di sini baru-baru ini.
Program sehari yang melibatkan pembentangan beberapa kertas kerja dan penyelidikan tentang minyak zaitun perahan dara ini telah dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri berkenaan termasuk pengusaha, pengguna, ahli akademik, wakil daripada Kementerian Kesihatan dan tetamu lain.
Idea penganjuran program tersebut bertitik tolak daripada usaha sama penyelidikan tentang manfaat kesihatan dan terdapat beberapa penemuan kajian berhubung manfaat kesihatan awam dan kepentingan pengguna yang perlu diketengahkan dengan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin, Muhd. Shakir Assalam Ya berkata, pihaknya kini tiada masalah dalam aspek pengeluaran produk tetapi cabaran utamanya adalah dalam hal mempromosikan produk minyak zaitun di negara ini.
“Bukti daripada kajian yang diperoleh daripada Fakulti Perubatan universiti itu akan dijadikan nilai tambah kepada program pemasaran syarikat seterusnya dapat membantu meningkatkan taraf kesihatan pelanggan bagi jangka panjang seiring dengan pelan penjanaan pendapatan yang baik buat syarikat.
“Lambakan minyak zaitun yang tidak mendapat pengesahan selari dengan piawaian Majlis Zaitun Sedunia (IOC) telah mengelirukan pengguna apabila syarikat menggunakan selebriti, ustaz dan doktor selebriti yang berjaya memesongkan kebenaran serta meletakkan naratif palsu tentang EVOO,” katanya. – MalaysiaGazette
















