KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan komitmen memperkasakan sosioekonomi komuniti berpendapatan rendah melalui peluasan inisiatif Dapur Digital dengan 10 lagi projek baharu di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, program yang kini memasuki tahun kedua itu telah menunjukkan impak positif apabila jualan keseluruhan melebihi RM1 juta dicatatkan tahun lalu menerusi lima lokasi projek perintis.
“Ini merupakan persetujuan untuk kita memperkasakan ekonomi komuniti sekelompok dan model pelaksanaan yang kita lakukan adalah public private partnership di mana kita bekerjasama dengan pemain-pemain industri dan juga NGO.
“Ini juga merupakan platform perusahaan di mana mereka bukan sahaja diberi latihan untuk menyediakan menu-menu makanan tetapi kita juga mengajar mereka dari sudut digital marketing macam mana financial, menjaga financial mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital 2025 di sini hari ini.
Menurut Dr Zaliha, inisiatif berkenaan mendapat perhatian dan sokongan Kementerian Kewangan yang memperuntukkan RM5 juta dalam Belanjawan 2025 untuk peluasan Dapur Digital ke 25 lokasi seluruh negara dengan 10 daripadanya di Kuala Lumpur.
Antara lokasi baharu pelaksanaan Dapur Digital tahun ini ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak; PPR Hiliran Ampang; PPR Seri Alam; PPR Raya Permai; PPR Kampung Muhibbah; PPR Taman Mulia; PPR Beringin; Pangsapuri Sentul Utara; PA Sri Kedah dan PA Seri Perlis II.
Tambah Dr Zaliha, pendekatan PUJI yang menggabungkan latihan masakan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan bukan sekadar mencipta peluang pendapatan malah mendorong komuniti PPR membina identiti keusahawanan tersendiri.
“Sekali lagi, saya rakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat, daripada Kementerian Kewangan yang memperuntukkan dana, Jabatan Perpaduan, Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL yang menyelaras dari peringkat pelaksanaan.
“Selain itu, pihak swasta seperti Maxis, Brahim, Media Prima, PPB Group, Shoppee, TikTok dan Grab yang menjadi rakan swasta, hinggalah kepada NGO seperti Pepper Labs dan NGI seperti peserta komuniti yang menjadi nadi utama kejayaan program
ini.
“Kepada semua penerima kunci hari ini, anggaplah ini sebagai amanah untuk mengubah hidup anda dan keluarga, dan saya harap, selepas ini saya dapat kembali lagi ke sini untuk mendengar kisah-kisah kejayaan baru dari dapur anda sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Projek Dapur Digital merupakan satu usaha memperkasakan komuniti B40 khususnya ibu tunggal dan golongan belia melalui inovasi ekonomi digital.
Dapur-dapur itu berfungsi sebagai hab ekonomi yang menawarkan peluang kepada usahawan mikro B40 untuk menjana pendapatan untuk keluarga. – MalaysiaGazette
















