KUALA LUMPUR – Menjelang penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 mulai esok, kerajaan memberi jaminan aspek kebersihan dan imej ibu kota menjadi keutamaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha itu tidak hanya digalas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara bersendirian sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti dan sukarelawan.
“Satu keutamaan kita sebab Kuala Lumpur mana yang kita tahu bahawa dia menjadi antara pusat atau pun kawasan utama di mana banyak program-program ataupun apa dia panggil, mesyuarat-mesyuarat yang bertahap ASEAN ini dilaksanakan.
“Pendekatan ini bukan sekadar mencantikkan Kuala Lumpur tetapi mencerminkan wajah rakyat Malaysia yang menyambut kedatangan delegasi antarabangsa dengan penuh mesra dan tanggungjawab bersama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital 2025 di sini hari ini.
Justeru, Dr Zaliha menggesa semua warga kota supaya memainkan peranan aktif dalam menjaga kebersihan persekitaran dan menampilkan imej bandar raya bertaraf dunia.
ASEAN Chairmanship 2025 dijangka menjadi medan penting untuk Malaysia mengetengahkan pelbagai inisiatif serantau melibatkan kerjasama politik, ekonomi, sosial dan pembangunan mampan. – MalaysiaGazette
















