KUALA LUMPUR – Gesaan sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap badan kehakiman disifatkan idea yang baik.
Namun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan berkata, langkah yang lebih mustahak dan perlu disegerakan ialah merehatkan perdana menteri.
Jelasnya, langkah ini penting bagi mengelakkan keruntuhan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara yang kini berdepan dengan isu konflik kepentingan yang ketara.
“Konflik kepentingan dalam hal ini amat jelas. Keadilan bukan sahaja mesti berlaku, tetapi keadilan juga mesti dilihat berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Oleh itu, demi memastikan integriti dan kredibiliti institusi kehakiman kekal terpelihara, perdana menteri wajar direhatkan segera sehingga segala persoalan yang timbul dapat diselesaikan dengan telus dan adil.
Hari ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengadakan sidang media bersama enam ahli Parlimen PKR lain membabitkan isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun, menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahar, Onn Abu Bakar.
Melalui sidang media itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, antara lain akan memohon secara rasmi satu prosiding dan siasatan dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.
Katanya, kontroversi yang pada mulanya hanya membabitkan isu kekosongan jawatan dalam badan kehakiman kini semakin membimbangkan.
Beliau menegaskan bahawa insiden ini boleh membawa persamaan dengan skandal video VK Lingam pada tahun 2007, yang turut membabitkan dakwaan pengaruh terhadap pelantikan dan keputusan kehakiman. – MalaysiaGazette
9 ahli Parlimen PKR gesa RCI siasat kemelut lantikan ketua hakim negara
















