Tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, mengaku salah atas dua pertuduhan memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam tanpa alasan yang munasabah di Banda Hilir di sini pada 10 Jun 2025 dan awal pagi 7 Julai 2025.

MELAKA – Seorang content creator lelaki didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di Banda Hilir di sini pada 10 Jun lalu dan awal pagi tadi.

Hakim Amirrudin Abdul Latip membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, mengaku salah atas dua pertuduhan dalam kes yang dikendalikan Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar.

Mengikut dua pertuduhan dibacakan di hadapan tertuduh yang tidak diwakili peguam, lelaki itu didakwa memakai pakaian  dan berlagak seperti wanita di tempat awam tanpa alasan yang munasabah.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi dan masa berbeza iaitu kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi 10 Jun 2025 di Bangunan A Famosa dan di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam, Jalan Kota kira-kira 1.30 pagi tadi.

Kedua-duanya lokasi kesalahan terletak di Banda Hilir dalam daerah Melaka Tengah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM1,000 atau dipenjara maksimum enam bulan mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang melarang lelaki berlagak seperti perempuan.

Selepas mendengar pengakuan salah dan rayun tertuduh, Hakim Amirrudin menetapkan lelaki itu didenda RM850 bagi kesalahan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar dan RM950 bagi kesalahan kedua.

Tertuduh yang masih bujang kemudian membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JAIM tangkap content creator beraksi pondan di Banda Hilir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast