JAKARTA – Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores, Indonesia Timur, meletus pada pagi tadi, memuntahkan menara abu setinggi 18 kilometer ke langit, menurut kenyataan rasmi agensi vulkanologi.
Letusan berlaku pada jam 11.05 pagi waktu tempatan.
Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid berkata, tahap aktiviti gunung berapi itu kini berada pada paras “sangat tinggi”, dengan ciri-ciri letusan eksplosif dan gegaran berterusan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk untuk berada sekurang-kurangnya enam kilometer dari kawasan gunung dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada abu gunung berapi.
Agensi turut memberi amaran tentang risiko banjir lahar (aliran lumpur gunung berapi) jika hujan lebat berlaku, terutamanya bagi penduduk berhampiran sungai.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan, dan Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali, dilaporkan masih beroperasi seperti biasa, menurut InJourney Airports.
Letusan terbaharu ini berlaku hanya beberapa minggu selepas letusan bulan lalu yang menyebabkan puluhan penerbangan ke dan dari Bali dibatalkan, hujan abu melimpah ke beberapa kawasan penempatan, dan sekurang-kurangnya satu kampung dipindahkan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki dengan berketinggian 1,584 meter, pernah meletus beberapa kali pada November lalu, menyebabkan sembilan kematian dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Gunung ini berpasangan dengan gunung berapi yang lebih tinggi dan lebih tenang, Lewotobi Perempuan (1,703 meter). – Agensi
















