Gambar hiasan

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

DI TENGAH kebimbangan sejagat terhadap senjata nuklear dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, ASEAN kekal teguh dengan komitmennya terhadap keamanan serantau melalui Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). Namun dalam masa yang sama, beberapa negara anggota ASEAN mula menunjukkan minat terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang bersih dan mampan.

Ini menimbulkan persoalan penting: adakah aspirasi tenaga nuklear ini bertentangan dengan prinsip SEANWFZ yang dipegang teguh? SEANWFZ, yang dimeterai pada 1995 melalui Perjanjian Bangkok, melarang pemilikan, pembangunan atau penempatan senjata nuklear di wilayah ASEAN.

Meskipun perjanjian ini tidak melarang penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan damai seperti penjanaan tenaga, perubatan atau penyelidikan—selagi ia mematuhi piawaian keselamatan dan pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Malah Perkara 4 perjanjian tersebut secara eksplisit membenarkan penggunaan tenaga nuklear untuk pembangunan sosioekonomi dengan syarat ia tidak disalah guna untuk tujuan ketenteraan.

Beberapa negara ASEAN kini sedang membina kapasiti dasar dan teknikal untuk meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga.
Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Rosatom dan bekerjasama dengan IAEA untuk membina kerangka dasar tenaga nuklear aman.
Vietnam sedang menilai semula projek loji kuasa nuklear Ninh Thuan yang tertangguh sejak 2016.

Indonesia pula telah meluluskan pelan pembangunan reaktor modular kecil (SMR) sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang tenaga nasional. Memandangkan semakin banyak negara di Asia Tenggara sedang menilai potensi tenaga nuklear untuk tujuan awam, aspek perlindungan menjadi kunci utama dalam mencegah penyalahgunaan bahan nuklear.

IAEA merupakan satu-satunya badan antarabangsa yang diberi mandat untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan ke atas kemudahan nuklear awam. Sistem perlindungan ini berperanan memastikan bahan nuklear tidak diseleweng untuk tujuan ketenteraan, khususnya melalui pemantauan proses pengayaan uranium dan pengekstrakan plutonium. Walau begitu kemunculan teknologi reaktor generasi baharu menimbulkan cabaran tersendiri.

Sebilangan besar reaktor canggih menggunakan sistem pemuatan bahan api secara ‘online’ sepanjang operasi. Ini menjadikan pengiraan tepat terhadap simpanan bahan nuklear lebih sukar. Justeru IAEA perlu merangka protokol perlindungan yang bersesuaian dengan ciri teknikal reaktor termaju ini sebelum ia diterima pakai secara meluas di rantau ini.

Langkah-langkah ini bukan sahaja mencerminkan keperluan untuk diversifikasi tenaga tetapi juga usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan keselamatan tenaga dalam jangka panjang. Aspirasi ini tidak bercanggah dengan SEANWFZ bahkan selari dengan semangatnya—iaitu memastikan teknologi nuklear digunakan secara aman, bertanggungjawab dan telus.

Dalam hubungan ini, cabaran utama bukan terletak pada dasar tetapi pada naratif dan persepsi awam. Istilah “nuklear” masih dibayangi oleh imej senjata pemusnah besar-besaran, bencana Chernobyl dan Fukushima serta kebimbangan terhadap kebocoran radiasi. Tanpa penjelasan yang jelas dan naratif yang meyakinkan, usaha membangunkan tenaga nuklear aman boleh disalah tafsir sebagai pengkhianatan terhadap prinsip SEANWFZ.

Lebih membimbangkan, kerjasama dengan kuasa besar seperti Rusia atau China dalam bidang nuklear boleh menimbulkan keraguan geopolitik jika tidak disertai dengan ketelusan, pemantauan awam dan penyertaan masyarakat sivil. Oleh itu ASEAN perlu memimpin naratif baharu bahawa penggunaan tenaga nuklear aman bukan satu ancaman, tetapi satu bentuk kedaulatan teknologi dan kemerdekaan tenaga bagi negara-negara anggota ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin usaha menyatukan naratif ini. Pada 6 Julai lepas, Wisma Putra mengesahkan bahawa rundingan dengan kuasa-kuasa nuklear untuk menandatangani protokol SEANWFZ sedang menunjukkan kemajuan dengan China dan Rusia telah bersetuju untuk menjadi penandatangan manakala Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti perjanjian tersebut sebelum membuat keputusan.

Ini bukan sahaja memperkukuh legitimasi SEANWFZ pada masa yang sama juga membuka ruang kepada ASEAN untuk menyusun semula naratif nuklear global dari perspektif keamanan Global Selatan. Dalam hubungan ini, Malaysia boleh mengambil beberapa langkah strategik:

1.Mencadangkan Doktrin Ketelusan Nuklear ASEAN, yang menggabungkan pemantauan IAEA, penyertaan masyarakat sivil, dan pelaporan awam berkala.

2. Menjadi pemudah cara dalam rundingan dengan kuasa besar untuk menandatangani protokol SEANWFZ.

3. Mempromosikan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan lestari ASEAN, bukan sebagai ancaman keselamatan.

Aspirasi tenaga nuklear ASEAN tidak bertentangan dengan SEANWFZ sebaliknya,ia menguji kematangan diplomatik dan keupayaan naratif rantau ini. Apa yang diperlukan bukan sekadar kepakaran teknikal sebaliknya kejelasan makna dan keberanian moral untuk menyatakan bahawa teknologi tidak semestinya membawa ancaman, jika ia dibina atas asas ketelusan, kerjasama dan tanggungjawab bersama. Dengan pendekatan yang betul, ASEAN bukan sahaja boleh kekal sebagai zon bebas senjata nuklear bahkan juga menjadi model dunia bagi penggunaan teknologi nuklear yang aman, adil dan berdaulat.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast