JOHOR BAHRU – Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memperkukuh keselamatan nuklear serantau menerusi penganjuran Latihan Pengesanan Keselamatan Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Latihan kerjasama serantau itu diadakan mulai hari ini sehingga 11 Julai ini melibatkan empat buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
MITSATOM 2025 direka khusus sebagai mekanisme penilaian untuk menguji keberkesanan protokol komunikasi dan kecekapan tidak balas dalam konteks sekuriti nuklear serantau.
Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut berkata, penganjuran latihan itu mencerminkan komitmen negara-negara ASEAN dalam memperkukuh aspek keselamatan sempadan dan menangani insiden penyeludupan bahan radioaktif.
“Latihan ini bertujuan menguji keberkesanan komunikasi dan tindakan balas dalam mengesan insiden keselamatan nuklear, khususnya penyeludupan bahan radioaktif merentasi sempadan darat dan laut melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Multilateral Nuclear Security Detection Exercise, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Monalija Kostor serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Noraishah berkata, MITSATOM 2025 berperanan membimbing negara-negara terlibat sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan latihan.
Katanya, MITSATOM 2025 menjadi platform penting dalam membina keupayaan Pegawai Barisan Hadapan (FLO) menerusi pendedahan secara langsung bersama-sama pakar antarabangsa dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan komunikasi berkaitan insiden keselamatan nuklear.
“Latihan ini bukan sahaja menguji kecekapan dan kesediaan pegawai dari negara ASEAN, malah memperkukuh jaringan kerjasama dan saling percaya antara agensi penguat kuasa dan badan kawal selia,” ujarnya.
MITSATOM 2025 turut disertai pemerhati antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), polis antarabangsa (Interpol), Arab Saudi dan Brunei selain delegasi rasmi dari negara ASEAN yang terlibat.
Sementara itu, Monalija berkata, latihan tersebut merupakan kali keempat diadakan di negara ini selepas diadakan kali terakhir di Sabah pada 2018.
“Selepas tujuh tahun, kita mengadakan semula latihan pada kali ini melibatkan sempadan darat dan juga laut. Jadi, dengan ini kita dapat fokus secara komprehensif untuk mengekang penyeludupan bahan radioaktif (pada masa hadapan),’’ katanya.
Menurut beliau, senario latihan lapangan akan melibatkan penyeludupan empat bahan radioaktif yang berjaya dikekang dan dikembalikan kepada kawalan pihak berkuasa sekali gus menjelaskan bahan radioaktif yang diseludup adalah berada di luar kawalan perundangan dan pihak berkuasa Atom Malaysia.
‘’Bahan radioaktif ini kita kena dapatkan kembali, supaya ia berada dalam kawalan pihak berkuasa, sebab kita bimbang ia akan jatuh kepada orang yang salah dan tidak tahu mengenai bahaya bahan itu serta dikhuatiri mungkin digunakan untuk keganasan dan beri ancaman keselamatan kepada rakyat dan negara,’’ katanya.
Ujarnya, latihan lapangan yang dijalankan turut menguji peralatan dan sistem komunikasi serta mengesahkan pelan serta prosedur operasi selain menilai keupayaan anggota bertindak balas dalam menangani senario sebenar.
Sementara itu, beliau berkata, bahan radioaktif yang dirampas selepas gagal diseludup masuk ke negara ini akan dihantar pulang ke negara asal.
“Sekiranya ia diseludup keluar dari negara kita, kerajaan akan rampas dan bawa ke mahkamah untuk membuat keputusan, sama ada mahkamah akan putus lucut hak dari pemiliknya.
“…jadi bahan radioaktif tersebut akan diambil kerajaan untuk diuruskan sebaiknya atau ia akan dipulangkan kepada pemilik setelah dikenakan denda.
“Biasanya kalau dibawa secara haram adalah untuk mengelakkan kos (ditanggung syarikat) atau mereka tidak tahu ada undang-undang yang mengawal bahan radioaktif dalam negara tetapi kita tidak akan benarkan perkara itu berlaku,” katanya.
Justeru beliau berkata, Atom Malaysia sentiasa melakukan kawalan ketat bagi memastikan apa juga bahan radioaktif yang masuk dan keluar dari negara ini adalah dilakukan secara sah mengikut peruntukan akta sedia ada. – MalaysiaGazette
















