Dr, Nurliyana Hamdan menceritakan pengalamannya sebagai jemaah haji tahun di di Masjidilharam di Kota Mekah

MEKAH – Tidak putus asa mengemukakan rayuan setiap tahun akhirnya memberi peluang berharga untuk Dr. Nurliyana Hamdan,37, mengerjakan haji pada usia yang muda.

Lebih mengujakan katanya dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama suami tercinta, Mohd Zahid Muhammad di tanah suci.

Ujarnya niat untuk mengerjakan haji sebelum usia 40 tahun disemat selepas mengerjakan umrah pada kali pertama ketika enam tahun lepas.

”Usaha daftar haji dan menabung bersama suami dibuat sejak dulu lagi. Namun, terus pasang niat nak tunai haji waktu muda iaitu semasa kudrat masih ada ketika pergi umrah semasa bulan puasa tahun 2019.”

”Sejak balik dari umrah, memang sentiasa buat rayuan dengan Tabung Haji dan berdoa diberi peluang menjadi tetamu Allah lagi. Lepas balik tekad nak buat haji sebelum umur 40 sebab kami sebaya.

”Memang tak putus asa setiap tahun buat rayuan, rezeki sangat bila rayuan kepada pengelola haji diterima dan kami berpeluang sampai ke sini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujar ibu anak tiga itu, pengalaman bersama jemaah di tanah suci mengajar erti kesabaran dalam menyempurnakan ibadah sejak tiba 30 Mei lalu.

Malah lebih menguntungkan kepada pasangan itu apabila keluarga mereka memberikan sokongan membantu menjaga anak sepanjang ketiadaan di tanah air.

”Alhamdulillah sepanjang di sini Allah permudahkan semua. Dapat tunaikan rukun degan sempurna, memang fokus ibadat bersama suami.

”Sangat bersyukur ibu bapa memberi sokongan membantu anak-anak, dan rasa lega anak selamat bawah jagaan mereka. Selain itu duit bantuan daripada keluarga dapat membantu sehingga menyempurnakan haji ini,” katanya.

Nurliyana berpendapat orang muda sewajarnya berusaha mengumpul duit secukupnya bagi menunaikan haji ketika usia masih muda dan kesihatan yang mengizinkan.

Malah katanya jika sudah berdaftar haji, jangan putus asa membuat rayuan agar mendapat peluang lebih awal untuk mengerjakan haji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast