Foto Arkib MG

KUALA LUMPUR – Semua perwakilan serta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar terus memperkukuh institusi presiden yang telah mendapat mandat secara majoriti dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024 yang lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Harrison Hassan menegaskan, ia merupakan satu tanggungjawab bersama demi kelangsungan parti menghadapi cabaran politik masa kini.

Menurut beliau, kesatuan dan kesepakatan dalam kalangan ahli serta kepimpinan adalah asas kepada kejayaan membawa agenda perjuangan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Dalam suasana tidak menentu ini, adalah penting untuk kita berdiri teguh di belakang presiden parti, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah diberikan mandat oleh majoriti perwakilan.

“Institusi presiden harus diperkukuh, bukan diganggu-gugat dengan usul dangkal dan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, agak mengecewakan apabila terdapat segelintir pemimpin parti yang dilihat cetek pemikiran dan tidak matang dalam berpolitik dengan cuba mengusulkan perkara yang telahpun dipersetujui sebelum ini, ketika majoriti Bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan masing-masing.

“Helah ini dilihat sebagai cubaan terancang untuk melemahkan institusi Presiden serta kepimpinan utama parti yang akan mengemudi bahtera Bersatu dalam PRU akan datang,” tegas beliau.

Tambah Harrison, cadangan untuk menukar atau menggantikan portfolio ‘pengurusan parti’ turut disifatkan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

“Kami, perwakilan akar umbi serta kepimpinan di seluruh Bahagian dalam negara, bertekad dan beriltizam untuk meneruskan usaha presiden memacu parti ke hadapan. Sebarang usaha untuk mengaburi mata ahli dan memecahbelahkan perpaduan parti wajib dihentikan serta-merta,” tegasnya lagi.

Beliau turut memberi amaran bahawa, pihaknya tidak akan teragak-agak mencadangkan agar individu atau kumpulan yang cuba menggugat keharmonian dan kesepakatan parti dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast