KUALA LUMPUR – Gerakan Bangkit Sabahan akan menganjurkan perhimpunan aman Bangkit Sabahan 2.0 secara besar-besaran di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, pada 26 Julai ini.
Penasihatnya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan ini dianjurkan bagi menzahirkan sokongan padu rakyat Sabah terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Perhimpunan ini bagi menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kedaulatan Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Gerakan Bangkit Sabahan telah membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan yang dijadualkan pada 21 dan 22 Jun 2025 atas dasar akur kepada nasihat pihak Polis.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan pertindihan dengan penganjuran Himpunan Gempur Rasuah oleh sekumpulan kecil mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tarikh sama.
Zulkarnain juga berkata, kira-kira 100 persatuan dari seluruh Sabah dijangka menghantar perwakilan dan ahli masing-masing.
“Jumlah kehadiran dianggarkan mencecah 10,000 orang, menjadikan perhimpunan ini antara yang terbesar pernah dianjurkan di Sabah,” katanya.
Katanya, beberapa tokoh aktivis masyarakat, ahli politik serta pemimpin belia dijangka hadir dan menyampaikan ceramah sepanjang berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Selain itu, katanya lagi, satu memorandum sokongan akan diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah
“Ia sebagai simbolik komitmen rakyat untuk terus bersama Hajiji dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri, tanpa rasa gerun atau gentar terhadap sebarang tekanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















