Mohamad Salzeli (kiri) melihat keadaan lubang di Lebuh Ayer Keroh dekat susur Padang Jambu, Melaka yang tular malam tadi berpunca daripada culvert (pembentung) saluran parit yang pecah.

MELAKA – Kejadian jalan berlubang di Lebuh Ayer Keroh dekat susur Padang Jambu di sini yang tular malam tadi berpunca daripada culvert (pembentung) saluran parit yang pecah.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, keputusan itu diperoleh selepas lawatannya bersama beberapa agensi berkaitan di lokasi berkenaan pagi tadi.

Culvert yang pecah mengakibatkan air keluar sehingga melemahkan struktur tanah di sekitarnya dan membentuk lubang berkenaaan yang berdiameter kira-kira 20 sentimeter dan 1.5 meter dalam.

“Kerja-kerja pembaikan sudah bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh tujuh hari,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini hari ini.

 

Ir. Mohamad Salzeli Moktar

 

Malam tadi, tular kejadian seorang penunggang motosikal berkongsi detik cemas apabila rim tayarnya bengkok akibat terlanggar lubang berkenaan di lorong kiri jalan berkenaan.

Menerusi video berdurasi 49 saat itu, penunggang motosikal meminta orang ramai dari arah Ayer Keroh supaya berhati-hati ketika melalui jalan utama dua lorong itu untuk ke pusat bandar.

 

Mohamad Salzeli (kanan) meninjau keadaan parit di Lebuh Ayer Keroh dekat susur Padang Jambu, Melaka.

 

Pesanan penunggang motosikal itu mendapat pelbagai reaksi warga maya yang turut mempersoalkan bagaimana lubang berkenaan boleh terbentuk pada jalan yang baharu diturap.

Mengulas perkara itu, Mohamad Salzeli berkata, lubang berkenaan mungkin terbentuk apabila jentera berat penutap jalan kerap melalui kawasan terbabit sehingga menjejaskan struktur tanah yang semakin lemah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast