Tangkap layar video tular menunjukkan Perselisihan faham antara kumpulan pengayuh basikal dan pemandu bas

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan bas dalam kejadian di Kilometer 23, Jalan Kuala Selangor–Kuala Lumpur arah ke Sungai Buloh pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi apabila kumpulan pengayuh basikal terbabit menunggang secara berkelompok besar di lorong kiri jalan menyebabkan laluan bas terganggu.

“Kes ini di bawah Peraturan 42(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang secara bersaing. Tiada kemalangan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, polis menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau balai polis berhampiran.

Azaharudin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan serta menghormati hak pengguna jalan lain demi keselamatan bersama.

Terdahulu, di media sosial video berdurasi lebih seminit yang memaparkan ketegangan antara pemandu bas dengan kumpulan penunggang basikal mencetuskan reaksi pelbagai dalam kalangan pengguna media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast