JOHOR BAHRU – Johor mensasarkan pembinaan infrastruktur air mentah 2,000 juta liter sehari (JLH) yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri sehingga tahun 2060.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkata, ini termasuk Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Johor dengan kapasiti 200JLH.
“Ini termasuk projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Sedili dengan kapasiti 600JLH serta Projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Pontian dengan kapasiti 100JLH.
“Semua projek ini telah diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rancanan Malaysia ke-12 (RMK-12). Langkah ini dijangka berupaya menyokong keperluan air bagi sektor perindustrian, komersial dan domestik bagi jangka masa sederhana dan panjang.
“Justeru, para pelabur baharu tidak perlu bimbang tentang sebarang gangguan bekalan air pada masa hadapan,” ujar baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, di sini, hari ini.
Baginda bertitah, pada masa sama Johor menghargai kelulusan projek infrastruktur bekalan air baharu berjumlah RM991 juta dengan kapasiti 260JLH oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dimuktamadkan melalui Project Execution Letter (PEL) pada 7 Julai lalu.
Projek berkenaan titah baginda, akan memperkukuh keupayaan sistem agihan air terawat khususnya di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam pada itu, bagi kemasukan pelaburan baharu ke Johor selepas ini, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan syarikat-syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan JS-SEZ.
Jelas baginda, ini bagi menjamin kesejahteraan tenaga kerja serta menarik bakat bernilai tinggi.
Syarikat-syarikat sedia ada juga titah baginda, digalakkan untuk meneliti semula struktur gaji dan mempertimbangkan kenaikan gaji minima buat para pekerja tempatan di Johor.
“Saya turut menggesa kerajaan Persekutuan agar satu dasar atau hala tuju jelas dapat disediakan bagi memastikan isu ‘brain drain’ di Johor dapat diatasi,” titah baginda.
Berkenaan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang dijadualkan akan mula beroperasi tidak lama lagi, baginda menitahkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar tindakan segera dapat diambil untuk menempatkan petugas kesihatan agar hospital itu dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan Bangsa Johor.
“Saya juga menyeru agar kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan Kesihatan,” titah baginda.- MalaysiaGazette
















