JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian van sekolah terlibat kemalangan di Bandar Dato Onn, di sini, semalam berkenaan dakwaan membawa kapisiti penumpang yang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada van sekolah membawa lebihan penumpang selepas ini.
Beliau dimaklumkan, keadaan tersebut berlaku antaranya kerana perkhidmatan van sekolah yang terhad dan sekolah pula jauh dari kediaman murid.
“Kita faham dalam keadaan sekarang ada sekolah yang terlalu jauh dengan tempat tinggal.
“Kita juga nak dapatkan maklumat daripada JPNJ supaya mungkin ada pengusaha-pengusaha van lain boleh bantu untuk menghantar pelajar yang duduk jauh seperti di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat seorang daripada empat murid sekolah yang terlibat kemalangan tersebut, di rumahnya di Taman Munsyi Ibrahim, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri, K Raven Kumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani.
Dalam kejadian di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara Selatan di Iskandar Puteri pukul 1 tengah hari semalam, van sekolah membawa 21 murid sekolah melanggar belakang sebuah treler membawa muatan simen yang rosak di tepi jalan.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu van sekolah tersepit di tempat duduk pemandu, empat murid cedera manakala 19 lagi terselamat, kejadian itu tular dalam media sosial.
Sehingga kini, dua murid masih berada di Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini bagi menerima rawatan manakala dua lagi telah dibenarkan pulang.
Aznan bersyukur kerana kemalangan tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Pihaknya akan menyediakan khidmat kaunselor bagi membantu murid-murid dan ibu bapa yang terkesan dalam kemalangan itu bagi mengatasi trauma.
Katanya, JPNJ juga akan memastikan semua pengusaha van dan bas sekolah memastikan garis panduan digariskan kerajaan negeri sebelum ini dapat dipatuhi.
“Kita akan memantau sekolah demi sekolah, cuma proses itu mengambil masa juga kerana melibatkan jumlah yang ramai dan perlu dilakukan satu demi satu.
“Pemakaian tali pinggang keledar juga antara aspek keselamatan yang yang ditekankan dalam garis panduan tersebut kerana ia melibatkan penumpang,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















