JOHOR BAHRU – Dewan Ulamak Pas Negeri Johor (DUPNJ) kesal dengan aktiviti lelongan minuman keras di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini.

DUPNJ dalam satu kenyataan memaklumkan, aktiviti itu berlaku dalam kawasan premis sekolah yang boleh mencemar nama baik institusi pendidikan.

“Perkara ini juga membuktikan bahawa benteng moral masyarakat sedang dirobek tanpa segan silu.

“Peristiwa ini adalah satu bentuk pelanggaran terhadap prinsip asas pendidikan dalam Islam, yang menjadikan ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah dan membentuk insan yang berakhlak mulia.

“Sekolah adalah tempat menyuburkan akidah, memupuk adab dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat, bukan medan promosi kepada perkara yang diharamkan oleh Allah,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

DUPNJ menegaskan, sekolah bukan tempat yang boleh dikompromi untuk aktiviti seperti itu sekali gus menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganjuran acara yang bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam di premis pendidikan.

Dewan itu juga memberitahu, sekolah bukan tempat untuk mempromosi arak, hiburan liar atau budaya yang menjauhkan manusia daripada Allah.

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bertindak segera dan tidak boleh berdiam diri.

“Penjelasan rasmi perlu dikemukakan berkenaan insiden ini. Jika berlaku kelalaian atau kebenaran tanpa semakan yang rapi, maka tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“DUPNJ menyeru agar Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menyemak dan memperketat garis panduan penyewaan serta penggunaan fasiliti sekolah. Ketegasan perlu ada agar premis ilmu ini tidak dinodai atas nama ‘program luar’,” jelas DPUNJ lagi.

Tambah DPUNJ, guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan masyarakat perlu memainkan peranan menghalang dan tidak membiarkan perkara tersebut berlaku.

“Jangan biarkan sekolah menjadi tempat tercemarnya nilai-nilai Islam akibat kelalaian atau ketidakpedulian,” menurut DPUNJ lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast