JOHOR BAHRU – Permohonan maaf Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keterlanjuran beliau membuat perbandingan dengan malaikat disifatkan sebagai tindakan bertanggungjawab dan berjiwa besar.
Exco Pergerakan Wanita UMNO, Haslinda Salleh berkata, tindakan tersebut wajar dipuji yang segera mengakui kekhilafan dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran ucapannya.
“Semoga insiden ini menjadi pengajaran buat semua, termasuk saya sendiri agar kita terus memperbaiki diri, membetulkan kesilapan dan mendepani cabaran dengan keinsafan dan kekuatan dalaman yang tulus.
“Dalam arena politik, sering kali kita melihat kesulitan untuk mengakui kesilapan. Namun tindakan segera mengakui kekhilafan dan memohon maaf adalah suatu sikap yang penting dan wajar dicontohi dalam kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran kata-kata berkenaan perumpamaan tentang malaikat.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.
Sabtu lalu, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat berkata, UMNO perlukan ahli yang setia dan tahan diuji, tidak lari apabila parti bukan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Katanya, UMNO berdepan dengan ujian yang cukup hebat sebelum ini apabila harta milik parti dirampas dan akaun dibeku.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan kepimpinan UMNO yang lain diuji ketika itu.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden UMNO ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam,” ujar Zahid.
Mengulas lanjut, Haslinda yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor berkata, semua pihak membuat kesalahan dan tiada siapa pun yang sempurna.
“Dalam konteks kepimpinan, keterlanjuran bicara atau slip of the tongue adalah sesuatu yang boleh berlaku. Namun apabila kita sedar akan kesilapan, mengakui dan memohon maaf dengan ikhlas adalah satu sifat yang terpuji,” ujarnya.
Sikap bertanggungjawab untuk mengakui kesilapan, katanya, juga mencerminkan UMNO dan kepimpinan secara amnya menjunjung nilai-nilai keinsanan dan kebertanggungjawaban di samping matlamat politik.
“Saya berbangga menjadi sebahagian perjuangan UMNO dan lebih bangga apabila prinsip-prinsip ini sentiasa ditegakkan dalam amalan kepimpinan,” ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis itu.- MalaysiaGazette

















kepala bana kaki ampu