JOHOR BAHRU – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan masalah bekalan air, gaji minimum dan Hospital Pasir Gudang di negeri ini tidak wajar diputar belit untuk kepentingan politik sempit.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor yang memusingkan fakta titah baginda itu tidak memahami mesej disampaikan malah sudah tersalah tafsir.
“Armada Johor sekali lagi gagal untuk mentafsir dan memahami maksud sebenar titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Titah Tuanku bukanlah ‘wake-up call’ untuk dijaja sebagai senjata politik tetapi satu amanat penuh harapan dalam membakar semangat semua pihak untuk memperkukuh usaha membangunkan Johor yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing.
“Titah ini tidak pernah memperlekeh kerajaan negeri, malah menyokong hala tuju yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, fakta tidak boleh diputar belit dan sudah terbukti Johor semakin berkembang apabila muncul negeri dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada 2024 iaitu 6.4 peratus melepasi purata nasional.
Selain itu, katanya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal melonjakkan pendapatan rakyat juga lahir daripada keberanian kerajaan negeri menggubal dasar berani, bukan sekadar retorik politik atas pentas ceramah.
“Armada Johor, cukuplah menunggang nama institusi diraja demi kepentingan politik sempit. Titah Tuanku adalah lambang kasih dan tanggungjawab raja kepada rakyat, bukan tiket untuk menagih perhatian bila sudah kehilangan arah,” ujarnya.
Semalam Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah dan menyentuh berkenaan bekalan air, gaji minimum serta perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang.
Baginda bertitah, Johor mensasarkan beberapa pembinaan infrastruktur air mentah yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri.
Bagi gaji minimum pula, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan pelabur atau syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara Hospital Pasir Gudang pula, baginda mahu supaya segera menempatkan petugas kesihatan sebelum hospital itu beroperasi pada Ogos ini.
Hari ini, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Alias Rasman menyifatkan titah tersebut sebagai satu teguran kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa dan gagal mengurus kebajikan rakyat.
Alias Rasman mendakwa, titah itu juga merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan. – MalaysiaGazete
















