JOHOR BAHRU – Proses pemodenan menyeluruh terhadap hospital-hospital di negeri ini terutama di bandar raya ini perlu dilaksana bagi memenuhi keperluannya yang mendesak.
Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, proses modenisasi itu perlu dilakukan khususnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di bandar raya ini.
“Ini perlu merangkumi pemerkasaan sistem pengurusan pesakit, pemilikan peralatan berteknologi tinggi dan persekitaran rawatan yang lebih selesa serta mesra pengguna.
“Selain itu perlu wujudkan rangkaian kerjasama strategik antara hospital awam dan swasta di Johor bagi mempercepat rawatan khususnya bagi pesakit kronik dan berisiko tinggi.
“Sebagai contoh, pelaksanaan program subsidi rawatan pakar untuk pesakit B40 di hospital swasta merupakan satu langkah penting yang dicadangkan untuk memperluas akses kepada rawatan berkualiti tinggi tanpa membebankan hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Kata Hahasrin, Johor juga perlu membangunkan hab perubatan berfokus, contohnya hospital pakar jantung, pusat rawatan kanser dan hospital geriatrik untuk penjagaan warga emas
Jelasnya, ia bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan terhadap hospital-hospital besar di Kuala Lumpur dan Singapura, malah memperkasa pelancongan kesihatan Johor yang mempunyai potensi besar di rantau ini.
Pada masa sama, katanya, hospital-hospital Johor disaran menyertai penilaian kualiti berasaskan pengalaman pesakit seperti Patient-Reported Outcome Measures (PROMs).
Tujuannya kata beliau, agar mampu bersaing secara terbuka dan profesional peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dengan perancangan dan pelaburan strategik serta sokongan semua pihak, saya yakin Johor mampu menjadi hab kesihatan utama di rantau ini dan kembali mengangkat nama negeri dalam senarai hospital terbaik negara.
“Negeri maju memerlukan rakyat yang sihat, dan rakyat yang sihat memerlukan sistem kesihatan yang cemerlang,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















