Tian Soon melakukan lawatan mengejut di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon melakukan lawatan ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini malam tadi dan terkejut dengan kesesakan luar biasa di situ.

Beliau berkata, lawatan mengejut bagi meninjau sendiri kesesakan yang dikatakan sering berlaku di jabatan berkenaan.

“Zon Merah Jabatan Kecemasan HSI hanya mampu menampung enam pesakit pada satu masa kini terpaksa memuatkan sehingga 12 pesakit serentak.

“Ini sekali gus menggambarkan tekanan hebat dialami hospital itu setiap hari.

“Malam ini merupakan malam pertama pelaksanaan penugasan doktor locum di Jabatan Kecemasan ini hasil inisiatif dan sokongan Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya dalam Facebook hari ini.

Doktor locum bermaksud seorang doktor yang bekerja sementara untuk menggantikan doktor tetap yang tidak dapat hadir.

Tian Soon menjelaskan, HSI yang terletak berhampiran kawasan perumahan padat dan perindustrian secara purata merekodkan lebih 300 pesakit kecemasan setiap hari.

“Akibat kekangan sumber manusia, keutamaan terpaksa diberikan kepada kes Zon Merah (kecemasan) dan Zon Kuning (serius) manakala pesakit Zon Hijau (bukan kecemasan) terpaksa menunggu lebih lama untuk dirawat,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mencadangkan supaya hospital mengambil lebih ramai doktor secara ‘locum’ bagi membantu mempercepatkan rawatan terutama bagi kes bukan kecemasan.

“Setakat ini, hanya seorang doktor locum dapat ditugaskan setiap malam dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam. Kami amat mengalu-alukan lebih ramai doktor yang berpengalaman dalam bidang kecemasan untuk menyertai program ini.

“Berdasarkan pemerhatian semasa, kehadiran doktor on-call ini berjaya mempercepatkan proses panggilan pesakit di zon hijau

“Langkah sama turut dirancang untuk dilaksanakan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast